Thursday, 28 May 2015

MACAM MANA PEMEGANG BIASISWA NAK KAWIN?

Assalamualaikum kepada semua pembaca Kongsi Is Caring. Alhamdulillah atas nikmat iman dan Islam dan atas nikmat hidup dalam keadaan iman dan Islam. Selawat dan salam atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, nabi akhir zaman. Begitulah seharusnya hidup kita ini dimulai, diiringi dan diakhiri setiap hari dengan kesyukuran dan selawat ke atas nabi.

Terpanggil rasanya hari ini untuk menulis atas permintaan beberapa orang yang mungkin ingin mengikut jejak langkah saya, In shaa Allah. Langkah apa tu yang nak diikutkan? Bukan Langkah Kajang. Eh.. tapi langkah menuju ke gerbang perkahwinan.
Alhamdulillah, pada 10 Januari 2015 yang lalu telah selamat aku terima nikahnya Intan Syazwanie Binti Mohd Sulaiman dengan mas kahwinnya dua puluh tiga ringgit tunai… berkat tembakan doa daripada semua, Alhamdulillah kebahagiaan rumahtangga yang dimiliki hanya Allah sahaja yang tahu apa ertinya nikmat sebuah perkahwinan.

Pada hari ini, yang akan saya kongsikan adalah prosedur-prosedur seseorang yang bergelar pelajar, pemegang biasiswa. Tentulah yang paling kita inginkan adalah prosedur yang mengikut syariat Islam agar kita dapat menjadi muslim (kata kerja) bukan Muslim (kata nama).

Pertamanya, perlulah untuk kita berbincang dengan ibu bapa kita kerana mereka merupakan orang yang paling hampir dan berpengalaman. Kalau tak takdelah kita lahir kat dunia ni dan mereka masih lagi berkekalan, utuh rumahtangga yang mereka dirikan berpuluh-puluh tahun lamanya. Ye dok? Sebelum tu bakal zaujah yang kita inginkan perlulah setuju jugak ya. bertimbang rasalah sikit.

Setelah mendapat persetujuan, maka berbincanglah pula dengan keluarga pihak perempuan untuk mendapatkan persetujuan daripada bapa pihak perempuan yang bertindak sebagai walinya. Kalau pak dia tak setuju, camna hang nak menikah? Bincangkan bagaimana perjalanan majlis ingin dilaksanakan dan sebagainya. Sebagai seoarang Islam setidaknya kita perlu berpendirian untuk kurangkan adat-adat Melayu dalam perkahwinan yang melanggar syariat Islam kerana yang kita kejar bukanlah buah mulut orang ramai, tetapi redha Allah terhadap hubungan yng bakal kita jalinkan kelak.

Seterusnya adalah sebagai seorang pemegang biasiswa, anda perlulah untuk meminta kebenaran daripada sponsor anda untuk menikah. Mengikut pengalaman sendiri, adalah tidak mudah untuk minta kebenaran daripada JPA kerana hanya perlu mengisi borang dan sediakan beberapa salinan dokumen terkait sahaja. Silap-silap, dapat ucapan selamat pengantin baru daripada mereka. Seperti apa yang terjadi kepada saya.

Cumanya, untuk urusan borang kebenaran ini, saya sarankan untuk diisi beberapa bulan sebelum tarikh perkahwinan kerana pihak JPA perlu untuk bermusyawarah sesama mereka untuk urusan izin perkahwinan ini. Tapi yang pasti, JPA akan beri kebenaran punya. Jangan risau. Jangan tak minta izin, boleh kena ‘terminate’ oo.. dokumen-dokumen yang diperlukan boleh didapatkan di alamat http://unittajaan.hep.usm.my/files/JPA/borang-permohonan-bernikah-kahwin-utk-pelajar.pdf . Isi sahaja semua maklumat yang diperlukan dan hantar ke alamat yang tertera pada surat tersebut.
Mengikut pengalaman selepas beberapa bulan JPA akan memberikan surat kebenaran tersebut. Tapi tok kadi tak mintak pun surat tu, hanya sebagai prosedur kita sebagai orang yang ditaja sahaja.
Setelah itu, maka bolehlah anda bernikah dengan hati yang tenang dan gembira. Sebagai orang lelaki harus ingat, semasa anda mengucapkan qabul bermakna anda telah membuka satu lagi akaun akhirat yang merupakan satu amanah yang sangat berat untuk dijaga. Maka jagalah isteri anda sebaik-baiknya.

Urusan-urusan perkahwinan lain terserah kepada kedua bakal pengantin dan kedua belah pihak keluarga. Sebagaimana yang anda inginkan ianya berlangsung, maka sebegitulah ianya akan berlangsung. Tidak perlu terlalu membazir kerana anda masih seorang yang bergelar pelajar, belum bekerja dan mempunyai sumber pendapat. Tapi kalau orang tua anda nak sponsor, adik beradik nak sponsor janganlah pulak lepaskan peluang kerana itulah permulaan rezeki daripada alam perkahwinan anda.

Orang kata harus sediakan ilmu agama secukupnya untuk mendirikan rumahtangga. Pada saya, tiada dalam syarat sah nikah untuk seseorang cukup ilmu agama barulah boleh berkahwin. Seandainya begitu, tiada siapalah yanag akan dpaat melangsungkan pernikahan kerana ilmu Allah itu sangat luas. Jika laut dijadikan tinta untuk menulis ilmu Allah, itu juga masih tidak memadai. Tetapi sekurang-kurangnya perkara asas dalam agama Islam kita kuasai dan implementasi.

“Katakanlah, kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.” (Al Kahfi: 109)


Jadikan rumahtangga sebagai medan untuk kita lebih sama-sama bersemangat untuk meningkatkan kualiti hidup sebagai seorang muslim. Moga-moga sedikit sebanyak dapat memberi gambaran tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya terlintas niat di hati untuk mendirikan rumahtangga.

Wallahua’lam.

Monday, 13 April 2015

Teman Hidup Terbaik :)

Bismillah ir-Rahman ir-Rahim.. 

"Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu. 
Bila Allah lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu. 
Dan bila Allah tidak memakbulkan doamu,
 maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik buatmu."

Jangan berhenti meletakkan pergantungan kita kepada Allah. Tetaplah berdoa baik dalam keadaan senang mahupun susah. Sebab kita tak kan pernah tahu bila Allah makbulkan doa-doa kita. Sungguh kita tak tahu.

Seperti mana sejak kecil saya sering berdoa dan berharap agar dapat hidup bahagia bersama keluarga tercinta dan melihat mak dan abah bersatu kembali, sungguh saya tak tahu kapankah Allah mahu memakbulkannya. Malah, pernah terlintas di fikiran mungkin juga tak kan termakbul bilamana Allah ambil pula abah, insan paling rapat dengan diri ini kembali padaNya. Tapi kerana kasih dan rahmat Allah, rupa-rupanya Dia sudah pun memakbulkan salah satu pinta itu sewaktu Dia datangkan pemuda ini sebagai teman hidup yang terbaik. Alhamdulillah :')

Majlis Pelajar Cemerlang seluruh daerah Kluang. Dia wakil SK Felda Kahang Barat dan saya dari SK Felda Kahang Timur. Secara rasminya, tarikh ini (24/10/04) pertama kali kami bertemu sebelum kami menjadi classmate di SMK Kahang Timur :)

Hampir 11 tahun saya mengenalinya, tidak pernah sekali pun saya melihat dia bermasam muka, meninggikan suara apatah lagi berkata-kata kesat. Tidak pernah, dalam apa jua situasi. Luar biasa kesabaran dia.

Sabarnya dia menunggu bertahun-tahun. Sabarnya dia menjaga batasan diri dan hati. Sabarnya dia sewaktu melalui kesusahan untuk mendapat persetujuan nak berkahwin. Sabarnya dia sewaktu mendengar pelbagai kata-kata negatif, buah mulut orang sekeliling dan rejection demi rejection. Sifat sabarnya membuahkan kesetiaan. Sifat sabarnya melahirkan erti tidak berputus asa. Malah sifat sabarnya membuatkan dia positif dalam segenap aspek.   

Kalau bukan kerana sabarnya dia, I would already give up. Boleh kahwin kalau dah habis belajar, kahwin bila dah stabil, dah balas jasa mak bapak, kahwin lepas dah ada kerja, kereta dan rumah. Hmm.. Adat Melayu, selagi tak kaya jangan nikah. Tapi kalau ikut Islam, nak kaya nikah. Betul kan? (An Nuur:32) Tepuk dada tanyalah iman :) Pintu rezeki itu Allah yang pegang, he is indeed Ar-Razzaq. Bilamana Allah kurniakan sifat qana’ah (selalu merasa cukup dengan nikmat Allah), hidup sederhana pun kita akan rasa bahagia dan berkat. Tapi realitinya, ramai yang lupa dan tidak faham. Menyulitkan apa yang telah Allah permudahkan. Rasanya banyak dah babak-babak drama air mata sewaktu melalui proses sebelum nak berkahwin ni hehehe.. Tapi bila diingatkan kembali tentang niat utama kenapa kami nak kahwin waktu belajar, susah-susah pun kita kena yakin dengan perancanganNya. Dia Maha Mengetahui, kalau kita berusaha nak percepatkan untuk halalkan hubungan dengan niat mencari keredaanNya dan nak menjaga hati, insyaAllah sesempit mana pun jalannya, Allah akan bukakan. Just have faith with Him and keep praying :') 

Tak ramai lelaki yang bersedia untuk berkahwin awal sebab masih mahu enjoy dan rasa masih muda untuk pikul tanggungjawab sebagai suami. Tapi dia...matlamat dan prinsip hidupnya jelas. Malah tak anggap ikatan perkahwinan itu suatu beban atau penghalang cita-citanya. I really adore him.

Bertahun-tahun dah kenal dia, rasa macam dah kenal each other sesangat dah, tapi sebenarnya belum lagi. Melalui alam perkahwinan ni, setiap hari belajar benda baru tentang dia dan dari dia. Alhamdulillah :D Selepas hampir 3 bulan lebih menjadi isteri dia (even hidup bersama cuma 2 minggu), kesabarannya semakin terserlah. Senyumannya tidak pernah lekang dari bibir. Sabarnya dia mendidik isteri dengan penuh hikmah, menasihati tanpa niat untuk melukai dan menegur tanpa berbekas di hati. Moga Allah merahmatimu, suamiku :')


Thank you abang for the past 3 months that is full of tarbiyah, sabar, redha and syukur.
Thank you for your unfailing compassion and patience.
Thank you for the unconditional love, each counting seconds.
Thank you for always developing strength in me despite of all my weaknesses.
Thank you for making me laugh and smile when I'd almost forgotten how to.
Thank you for always find a way to make my day a little brighter.
Thank you for being my source of happiness, my soul mate.
Thank you for everything, every single little things.
Thank you, because I just can't get enough saying thank you to you.
Thank you Allah for these :')
Subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil azim.


To My Wonderful Husband,
Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran yang ke-23, abang :)
May He shower you with successes and happiness in dunya wal akhirah, give you strength to face all the difficulties, highest of iman to spread this deen beautifully, and you utterly deserve the best always :)
I love you with all love that I have, because of Allah.

"Then which of the favours of your Lord will you deny? (55:38)"

I'm sorry for unable to be there with you on your special day. Not even once. In future, insyaAllah :) Being separated thousands of miles is just a matter of distance. We have a lot more to be grateful for in this marriage. What more important is the way we're there for each other <3 
Another 7++ months to go! May He permit another meeting, one with more barokah. InsyaAllah :)
Pray for us.



P/s: I'm sorry abang for using your blog..heee  (^,^) Btw, as you know I'm not good in expressing my feeling into words. So, I was struggling to write this entry haha..I bet this is my first time write this much (exclude all the essays and assignments)! But, I still can't write as good as yours..sorryy :(  


Nukilan isterimu tercinta, 
Intan Syazwanie Mohd Sulaiman
Wellington, New Zealand.

Friday, 3 April 2015

ZIKIR: APA PENTINGNYA?

Bismillahirrohmanirrohim.

Assalamualaikum warhamatullahi wabarokatuh.

Semoga semuanya berdaa dalam keadaan sihat di bawah lindungan Allah terhadap segala jenis mara bahaya, bencana dan godaan syaitan laknatullah.

Pertamanya marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana tanpa Allah maka tiadalah kita dapat hidup di atas muka BumiNya ini. Sama-samalah kita tingkatkan taqwa dan keimanan kepada Allah kerana darjat taqwalah yang membezakan kedudukan seorang Muslim dengan Muslim yang lain di sisi Allah.
Dalam Al-Qur'an Surat Al-Ahzab ayat 41-42 yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.(41) Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.(42)

Allah telah berfirman kepada orang yang beriman agar berzikir kepadanya dengan sebanyak-banyaknya setiap masa dan ketika. Jangan kita menyempitkan pemikiran dengan mendefinisi zikir sebagai Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar sahaja. Kembangkan pemikiran bahawa konsep zikir itu adalah sesuatu yang sangat luas. Zikir dalam konteks ibadah yang meliputi seluruh aspek aktiviti manusia. Solat, puasa, zakat, umrah, haji, sedekah, amal jariah, memberi makan kepada fakir miskin, semuanya itu adalah dalam konteks zikir yang perlu kita perhalusi dengan syarat niat kerana Allah.
Allah memberi jawapan kepada persoalan yang telah diajukan oleh kebanyakan manusia. Kenapa aku kena berzikir?
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
(Ar-ra’du: 28)

Sesungguhnya pentingnya untuk kita berzikir kerana ianya dapat memberi ketenangan hati yang abadi. Ketenangan hati merupakan pusat kepada ketenangan hidup. Contoh mudah dapat diambil untuk membuktikan peri pentingnya ketenangan hati kepada manusia. Berapa ramai antara manusia yang hidup dengan harta, kaya raya, rumah yang besar, kereta mewah, pakai barangan mewah, yang mana Allah limpahkan dengan nikmat dunia tetapi hatinya tidak tenang.

Ada antara manusia yang tersebut telah membunuh diri akibat tekanan, yang pokok pangkalnya adalah kerana tidak tenangnya hati dalam kehidupan. Wang ringgit bukanlah jaminan untuk kebahagiaan hidup di dunia kerana wang tidak dapat membeli ketenangan hati. Mengapakah hal ini dapat terjadi? Jawapan mudah, kerana kita telalu sibuk dengan hal dunia, berlumba-lumba untuk mengumpul harta dunia sehingga kita lupa untuk bermesra dengan Allah. Kerana kita terlalu berlumba-lumba menjalankan tanggungjawab menyara keluarga sehingga kita lupa untuk meletakkan harapan kita kepada Allah sebagai pemberi rezeki.
Lalu bagaimana zikir yang dapat menenangkan hati? Zikir yang dapat menenangkan hati adlah zikir yang secara menyeluruh. Zikir yang hatinya membenarkan, mulutnya mengucapkan dan anggotanya menggerakkan secara bersamaan. Bukan sekadar cakap tak serupa bikin.
Ramai antara kita yang solatnya rajin, puasanya rajin, baca Qurannya rajin, istighfarnya rajin tetapi hatinya keras dalam beberapa perkara. Tetapi apabila keluar daripada ‘dunia ibadahnya’ maka dia kembali melakukan dosa kemaksiatan. Maka dengan itu, mulakanlah setiap ibadah kita dengan bismillahirrahmanirrohim yang terkandung dalamnya rasa cinta kita kepada Allah. Rasa agungnya asma Allah andai kita benar-benar memahami. Allah menciptakan manusia da nisi dunia dengan permulaan rasa cinta dan kasihnya kepada makhluknya. Rahman Rahimnya telah membenarkan seorang pelacur untuk hidup di atas BumiNya, seorang peminum arak untuk berjalan pulang ke rumah. Seharusnya kita juga harus melakukan sesuatu denggan basmalah yang sebenar-benarnya.

Biarlah apa yang kita lakukan itu walaupun sedikit tetapi berkat (sedikit tapi manfaat berpanjangan). Sia-sia seandainya setiap hari kita membaca Al-Quran, solat, puasa dan sebagainya hanya sebagai ritual keagamaan tanpa ada perbaikan pada perbuatan sehari-hari kita. tanpa ada perbaikan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Tanpa melunakkan hati kita yang kita akui keras sehingga kita susah untuk membiarkan hati, perkataan dan perbuatan kita sederap berjalan bersamaan. Apa guna mengaku tanpa kita mencuba untuk melunakkan.
Ucapan salam juga merupakan zikrullah, tanda kita mengingati Allah. Assalamualaikum (salam sejahtera ke atas kamu) warahmatullahi ( dan semoga rahmat kasih sayang Allah) wabarokatuh (dan segala kebaikan ke atas kamu). Ucapan ini menjadi dasar kepada persaudaraan sesama Islam. Kita suka mengucapkan salam tanpa kita menyedari hakikat sebenar daripadanya. Apakah tanggungjawab kita sesudah itu. Melihat sahabat atau jiran sebelah kelaparan. Apakah kita bantu? Jika tidak, tidak terpenuhilah ucapan salam tersebut.

Ada juga antara kita yang pergi umrah berulang-ulang kali sedangkan umrah adalah ibadat sunat. Sedangkan keperluan ibu bapa sendiri tidak terpenuhi. Jiran hidup dalam keadaan susah ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang dibiarkan sahaja. Di situlah masalah timbul apabila makna zikrullah dipersempitkan minda hanya dengan ibadah-ibadah yang khusus sahaja. Sedangkan kita mampu untuk menanggung orang lain untuk membuat umrah, lakukanlah. Mungkin kita terlalu memikirkan diri sendiri.

Mengapa hal-hal sebegini terjadi, kerana dalam surah Al-ma’un Allah berfirman yang maksudnya:

[4] (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang
[5] (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya
[6] (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)
[7] Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

Kerana orang yang solat tetapi mereka lalai daripadanya. Mereka lalai kerana berasa riak dengan ibadahnya. Mereka beribadah kerana ingin menunjuk-nunjuk kebaikannya. Mereka juga bakhil untuk memberi sedekah kepada orang lain. Sehinggakan solat mereka tiada nilai. Tidak menjadi pendinding kepada diri mereka daripada perkara keji dan munkar, daripada mengata orang di belakang, terus bersikap acuh tak acuh dengan kesusahan orang lain dan berasa senang dengan apa yang telah dimiliknya. Hatinya keras, keras membatu dengan sifat-sifat tersebut.

Hati manusia itu dominan keras dan gelisah. Terserah kepada individu untuk melunakkan hatinya, mudah untuk memberi, memberi harta, kemaafan dan sebagainya namun berilah dengan konteks hati, perkataan dan perbuatan yang sama-sama bersetuju sesama sendiri.

Hati yang lunak ibarat tanah yang subur. Apa sahaja yang ditanam pasti akan tumbuh subur. Hati yang lunak memudahkan ruang barakah untuk dilimpahi.

Ingatlah, segala apa yang kita lakukan adalah untuk redha Allah. Jangan menganggap diri terlalu baik nak dibandingkan dengan seorang pelacur kerana seorang pelacur juga diberi syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing, kerana redha Allah.

Moga mendapat manfaat atas sedikit perkongsian ini dan moga sama-sama hati kita menjadi lebih tenang bila mana kita memahami konsep zikrullah secara menyeluruh.

Wallahua’lam.

Thursday, 19 March 2015

MARRIED

Assalamualaikum warahmatullah..

Alhamdulillahi robbil 'alamin diucapkan kepada Allah kerana limpah kurniaNya sehingga ke hari ini masih diberi kesempatan, ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan yang dulunya seorang yang bujang tidak berteman, kini ditemani isteri yang walaupun jauh beribu-ribu batu dipisahkan laut, namun sentiasa dekat di hati. Setelah sekian lama tangan tak turun di medan papan kunci laptop untuk bercerita, rasanya hari ini kesempatan itu diberi sekali lagi. Kisahnya kali ini adalah berkenaan dengan seorang wanita yang tidak pernah diduga, tidak terbayang di fikiran, telah berjaya aku peristerikan. Sungguh, jodoh urusan Allah.


Masih segar di ingatan, kali pertama mata terpandang pada wajahnya, pada umur yang sangat muda, hati sudah mula tertawan. Kata hati, 'she is the one'. Ada satu kualiti yang hanya dengan pandangan dapat dirasakan. Tidak pernah terlihat secara zahir pada wanita-wanita lain yang pernah aku kenal. Masa tu, memang tak kenal lah siapa dia. Tapi jujur, begitulah perasaan. Pandangan redup matanya begitu menyejukkan. Kesantunan tutur dan perilaku menambat hati yang tidak pernah merasakan. Berbunga hati remaja yang dalam proses mengenal erti dunia yang sebenar.

Begitulah serba sedikit awal perasaan. Gambaran telah jatuhnya hati aku bergolek-golek pada seorang wanita. Namun setakat itu sahajalah kisah yang dpaat dikongsikan. Biarlah yang lain menjadi rahsia kami.


Alam perkahwinan merupakan suatu perkara yang bagi aku, sangat mengubah kehidupan aku. Kenapa? Kerana setelah berkahwin, wanita itu halal bagiku. hati terasa tenang untuk bercerita kisah suka dan duka. Kenapa? Kerana hati terasa tidak serba salah untuk mendengar kisah suka dan duka. Kenapa? Kerana mula ada rasa tanggungjawab untuk memimpin seseorang. Mengingat suatu ceramah, perkahwinan ni bukan nak syok je. beratnya adalah pada suami sebab suami akan tanggung semua dosa yang isteri lakukan. itulah maksud akad nikah yang sebenar kalau kamu seorang yang faham.



Dush! Terasa satu panah menembus dada bila dengar. Diri sendiri pun banyak dosa. Ni pulak nak menanggung orang lain. Sebelum berkahwin, memang macam-macam perasaan akan timbul kerana syaitan terasa dirinya hampir kalah pada saat itu. Pada yang ingin bernikah teruskan niat dan cita-cita anda.

Selama hampir dua bulan setengah umur pernikahan kami, Kualiti-kualiti yang dah isteri aku pamerkan adalah sangat bertepatan dengan faktor X yang dapat aku rasa hanya dengan memandangnya kali pertama. Alhamdulillah, Nabi kata kalau nak cari pasangan hidup, pertama carilah yang beragama. Kerana agama akan membimbingnya untuk menjaga diri daripada perkara-perkara yang dapat mencemarkan kesucian, keluhuran peribadi seorang manusia. Sekali lagi, kebenaran hadith tersebut telah aku temui.

Walaupun aku dan dia duduk berjauhan, tetapi dapat aku rasakan seperti tanggungjawabnya pada aku telah terlaksanakan. Mungkin kerana keihklasan, ketenangan Allah kurniakan. Walaupun rindu itu menyakitkan tetapi cinta kerana Allah sangat meyakinkan, kerana indahnya syurga tidak tergambarkan.

Luar biasanya kekuatan yang telah seorang isteri berikan, menambah daya dan langkah kaki untuk terus meneruskan perjalanan. Ujian berat yang pelbagai berjaya aku tempuhi walaupun belum sepenuhnya berjaya, sedikit sebanyak membantu aku mempertingkatkan diri. Hanya dia dan Tuhan sahaja tahu betapa beratnya ujian yang terpaksa aku lalui. Begitulah dengan sahnya ikatan, dia menjadi tunggak, memahami diri sepenuhnya, menyokong sekuat-kuatnya, menangis bersama, ketawa bersama. Tangis dan tawa yang penuh kenikmatan dan keikhlasan yang boleh aku kata, hanya yang sudah berkahwin sahaja akan faham bagaimana perasaan.


Ada yang berpendapat, bila mana kita dah bernikah, tak perlulah untuk kita menunjukkan yang kita sangat bahagia dengan pasangan kita. Cukuplah kita sendiri yang tahu bahagianya kita dengan pasangan. Kalau begitu, salahlah nabi Muhammad kerana banyak hadith-hadith yang menceritakan urusan rumahtangga nabi. Setuju? Jika kita seorang yang berfikiran positif, kita akan ambil nila-nilai yang baik daripada perkongsian kisah rumahtangga orang lain. Begitulah sekelompok besar yang melihat, Hanya segelintir yang tidak memahami.

Ada juga yang berkata, banyak lagi cara lain untuk kau bahagiakan pasangan. Bukan hanya dengan menceritakan, sweet-sweet bermain perkataan di media sosial (secara terkawal mengikut landasan Islami). Mudahnya manusia berkata kerana bukan dia mengenali pun pasangan kita. Apa yang disukai dan apa yang tidak. Apa yang menggembirakan dan apa yang tidak.

Ciptalah berjuta-juta keindahan mengikut acuan Islam dalam alam pernikahan kerana di situ ada pahala yang akan mengalir. Ada dosa yang akan terpadam. Begitulah luasnya rahmat kasih sayang Allah kepada semua hambaNya. Dia memberikan rasa cinta dalam diri manusia untuk manusia salurkan pada jalan yang benar dan diredhaiNya.

For my lovely wife,
For every millisecond you make me happy,
You make me forget that i am in trouble,
Strengthen myself to walk on this Earth,
To find the meaning of my life.

Teaching me to appreciate all people that i love,
Teaching me to do good to people who 'betray' me,
Be humble and patient,
Smile in every hardships.
Those are what you did to me.
Those I got only by looking into you,
Because that is the real you.

I love you for who you are till Jannah. In shaa Allah.. :)






Thursday, 22 May 2014

INTERAKSI DENGAN AL-QURAN

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, dulu, kini dan selamanya kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya masih lagi diberi kesempatan untuk terus hidup di muka bumi ini dan merasai nikmat iman dan islam sekaligus dapat saya menaip untuk berkongsi sedikit ilmu yang baru sahaja didapatkan hari ini. Walauapun tak banyak namun mudah-mudahan bermanfaat.

Berdasarkan kepada judul yang ditarik (gaya bahasa orang Indonesia) di atas, maka pada hari ini saya akan berkongsi tentang kenapa sebenarnya kita perlu untuk berinteraksi dengan al-Quran yang merupakan kitab wahyu yang diberikan kepada nabi Muhammad s.a.w yang mana merupakan kitab terlengkap lagi melengkapkan kitab-kitab yang terdahulu serta perlu dan wajibnya dijadikan pedoman, manual untuk membimbing kehidupan seharian manusia yang bergelar Muslimin dan Muslimat khususnya.

Yang pertama adalah kerana petunjuk yang terkandung dalam al-Quran adalah amatlah jelas lagi nyata. Hidayah Allah itu dikatakan ada di mana-mana. Sebenarnya tidak perlu jauh untuk kita sebagai umat Islam untuk mencari hidayah kerana secara lughah atau bahasanya hidayah bermaksud petunjuk manakala dari istilahnya pula bermaksud petunjuk Allah ke arah kebenaran. Namun manusia itu sendiri yang menjadikannya sukar untuk diimplementasikan dalam kehidupan seharian walaupun memang tidak dapat dinafikan jika taufiq atau pertolongan Allah tidak datang untuk kita melakukannya, maka kita tidak akan pernah dapat menjalankannya.

Namun yang ingin ditekankan adalah betapa jelasnya petunjuk-petunjuk dalam al-Quran yang dapat memacu kehidupan kita yang mana jika kita analogikan adalah seperti papan tanda di tepi jalan. Dipaparkan bahawa untuk ke Mersing belok ke kanan manakala ke kiri akan ke Bandar Kluang. Apakah perlu untuk kita berhenti di tepi jalan dan beristikharah sebentar agar Allah memberikan petunjuk kerana ketidakyakinan kita kepada papan tanda tersebut?

Keduanya adalah bahasa Quran adalah bahasa Arab. Apakah keistimewaan bahasa ini? Bahasa Arab adalah bahasa syurga. Amatlah beruntung kepada sesiapa yang pandai berbicara dalam bahasa Arab kerana mereka faham betapa indahnya kosa kata dan susunan ayat al-quran. Tetapi terdapat suatu situasi yang dengan kuasa Allah terjadi, walaupun orang Melayu contohnya tidak pandai berbahasa Arab namun ada antaranya yang dapat membacanya dengan baik sekali, bertarannum dan tertil walaupun tidak memahaminya. Apakah boleh untuk kita membaca buku bahasa Jepun tanpa memahaminya? Apakah boleh untuk kita membaca bahasa Filipina tanpa memahami langsung maknanya? Begitulah keistimewaan al-Quran.

Selain itu, al-Quran adalah puncaknya nada dan irama. Tidak perlu diiringkan dengan muzik tambahan untuk membacanya dengan bertarannum. Lagu-lagu yang tersedia untuk bacaan al-quran seperti Bayyati, Nahwan dan sebagainya sudah cukup dan mampu untuk mengalahkan irama lagu penyanyi terkenal Beyonce, 2 pm dan sebagainya. Bagaimana boleh dikatakan sedemikian? Mungkin akan ada yang mempersoalkannya. Semuanya berbalik kepada hati masing-masing. Adakah hitam berkarat ataupun putih bersih.

Al-Quran  juga mudah untuk dipelajari dan dihafal. Ada yang dapat menghafal al-Quran dalam masa setahun dua, ada yang 3 bulan da nada yang dalam 40 hari. Namun semuanya boleh terjadi sekiranya kita mempunyai hati nurani yang bersih, fikiran yang sentiasa fokus hanya kepada Allah dan segala yang dilakukan hanyalah keran Allah, hanya itu sahajalah kunci untuk membuka manga yang tertutup rapat menutup hati manusia untuk menghafal serta menghayati isi al-Quran.

Manfaat yang akan kita peroleh dengan interaksi yang efektif adalah lisan akan lebih terjaga. Kata-kata yang keluar daripada mulut kita akan sentiasa terbimbing oleh al-Quran. Kata-kata yang terkeluar dari mulut kita adalah hikmah kebijaksanaan yang dapat mebawa kepada keharmonian hidup masyarakat sejagat. Seterusnya adalah pemikiran kita juga akan terpelihara. Sentiasa positif dalam semua perkara, melihat sesuatu langsung dapat melihat kebesaran Allah. Jika ada kawan kentut pun kita takkan sebarkan pada orang lain. Akan kita nikmati sendiri kebesaran kajadian ciptaan Allah kerana jika kita sebarkan maka perkara itu mungkin akan menyinggung hati sahabat. Semua ini hanya untuk menunujukkan betapa besarnya pengaruh al-Quran dalam kehidupan kita.

Kesimpulannya, untuk mendapatkan interaksi dengan al-Quran yang efektif perlulah untuk kita sentiasa introspeksi diri, membersihkan hati dan pemikiran kita daripada segala bentuk maksiat, segala bentuk keegoan, kesombongan, ujub, riak, takabbur kerana semua itu akan menjadi benteng penghalang kepada kita mengecapi nikmat turunnya al-Quran. Semoga kita berjaya untuk meraih peluang ini selagi nafas belum terhenti, selagi pintu taubat masih terbuka.

Mohon maaf atas kekurangan dalam penulisan ini kerana menulis berdasarkan sedikit perkongsian yang diterima dan berdasarkan had kapasiti ilmu agama yang masih cetek. Sekian, assalamualaikum.. J

Allahumma solli ‘ala saiyyidina Muhammad..

Monday, 3 February 2014

MUHAMMAD S.A.W INSAN ISTIMEWA

Assalamualaikum..

Alhamdulillah. Berikutan dengan tajuk yang kat atas tu, penulisan kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi tentang apakah keistimewaan nabi Muhammad s.a.w sehinggakan nama baginda masih lagi disebut-sebut, dikenang-kenang dan dirindu-rindu sehingga ke tika dan saat ini. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku kepada kekasih Allah insan istimewa Muhammad s.a.w (jangan lupa sahut ya nama baginda ni, syafaat menanti anda in shaa Allah)?

Keistimewaan pertama baginda adalah rahmatan lil’alamin. Baginda adalah manusia yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Bukan sepaerti nabi-nabi terdahulu yang diutuskan hanya untuk sesebuah kaum sahaja. Berdasarkan kepada konteks rahmatan lil’alamin ini, terdapat tiga tujuan mengapa baginda diutuskan.

Pertama adalah untuk mengajak dan mengajar manusia mentauhidkan Allah. Masyarakat arab jahiliyah pada masa dahulu, sembahan mereka adalah pelbagai. Ada yang menyembah pokok, batu, matahari, berhala dan sebagainya mengikut hawa nafsu mereka sendiri. Melalui pesuruhNya manusia diajak untuk kembali kepada fitrah iaitu menyembah Allah Tuhan yang satu.

Tauhid adalah amat penting dalam kehidupan manusia tanpa mengambil kira masa kehidupan sesebuah kaum. Sehingga tahun 2014 ini, hal ini masih tidak berubah dan menjadi pokok pangkal berjayanya seseorang bergelar Muslim itu untuk memuslimkan dan memukminkan diri dan masyarakat di sekitarnya sepertimana baginda nabi Muhammad s.a.w. masalah seperti perceraian, ibu bapa takut anak tak cemerlang dalam pelajaran, si isteri takut suaminya tak setia dan bermain kayu tiga adalah berpunca daripada kegoyahan tauhid dalam diri individu muslim. Hai, kata mentauhidkan Allah, tapi takkan perkara-perkara macam tu boleh timbul dalam benak fikiran?

Manusia pada masa kini hanyalah mentauhidkan kehidupan materialistik. Sibuk mengumpul harta dunia sehinggakan lupa untuk perbelanjaan hari akhirat. Kata nabi penyakit takut mati akan merosakkan manusia di mana dunia itu digigit lebih kuat daripada akhirat. Nak bukti? Cuba kita lihat masyarakat pada hari ini. Apa akan berlaku sekiranya harta seperti kereta atau motosikal hilang? Ha kecoh ssatu kampung. Kalau duduk kat Kluang, ha kcohlah satu Kluang jawabnya.

Tetapi saban hari dada akhbar memaparkan masalah zina, buang bayi dan sebagainya, adakah masyarakat akan kecoh seperti kecohnya kereta yang hilang? Apakah kita akan bersungguh-sungguh mengambil inisiatif untuk membantu menanggulangi masalah tersebut. Sungguh, benarlah apa yang dikatakan nabi. Maka, sekiranya kita teliti keistimewaan pengutusan nabi dalam konteks mentauhidkan Allah ini, masalah-masalah seperti yang telah diperkatakan tidak akan timbul.

Keitimewaan baginda yang kedua dalam konteks rahmatan lil’alamin adalah baginda mengajar kita untuk mencintai akhirat lebih daripada mencintai kehidupan dunia yang hanya sementara ini. Seterusnya yang ketiga adalah memegang kehidupan bersaudara lebih hebat daripada pertalian darah kerana kita umat Islam diikat oleh akidah yang satu. Dapat disimpulkan bahawa ketiga-tiga konteks ini adalah kunci kepada keharmonian hidup sebagai muslim. Jika masyarakat islam pada masa kini memegang teguh ketiga-tiga kunci ini sebagaimana yang dapat kita sendiri ketahui melalui sirah nabawiyyah, bagaiman kehidupan baginda bersama sahabat, bersama orang tua, kanak-kanak dan sebagainya.

Pernah suatu ketika seorang perempuan tua bertanya kepada baginda. “ya Rasulullah, apakah orang tua seperti akau akan masuk ke dalam syurga”. Jawab nabi “tidak”. Wanita tersebut langsung bersedih. Melihat keadaan wanita tua tersebut baginda lantas menyambung ucapan baginda. “oOrang tua tak masuk syurga sebab di syurga semuanya adalah orang-orang muda”. Mendengar ucapan nabi sebegitu latas tersenyumlah dia. Begitulah gurauan nabi yang membawa hanya kepada perkara kebenaran.

Keistimewaan nabi yang kedua adalah sifat fizikal nabi yang tiada duanya yang mana dijelaskan oleh para sahabat, penciptaan nabi adalah sesempurna manusia. Tingginya tidak telalu tinggi, rendahnya tidak terlalu rendah, apabila berjalan seperti menuruni bukit, buu dada baginda yang halus sehingga ke pusat, tanda kenabian yang ada di belakang tengkuknya dann sebagainya. Begitulah antara gambaran fizikal nabi Muhammad s.a.w. Namun, apa yang boleh kita tiru sebagai umatnya adalah akhlak baginda yang agung. Kepimpinan yang dibawa oleh nabi adalah melalui teladan.

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
(Al-Qalam:4)

Ingin dikongsi sebuah kisah untuk menunjukkan bagaimana kecintaan seorang hamba Allah terhadap nabi kerana begitu dia menghayati keperibadian dan keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w.  Seorang wanita yang suaminya, ayahnya dan anak lelaki telah pergi bersama-sama Rasulullah ke Perang Badar. Dengan takdir Allah ketiga-tiganya telah gugur syahid. Seorang sahabat pergi menemuinya untuk memberi perkhabaran tersebut. Apabila diberitakan kepadanya dia malah bertanyakan kembali kepada sahabat, ‘bagaimana dengan Rasulullah?”. Dikatakan kepadanya lagi bahawa suamimu, ayahmu serta anak lelakimu telah gugur di medan perang namun dia masih bertanyakan, “bagaimana dengan Rasulullah?”. Dan sekali lagi sahabat mengatakan tentang berita kematian suami, ayah serta anaknya dia langsung masih bertanyakan soalan yang sama. Lalu sahabat menjawab Rasulullah masih selamat. Lantas wanita itu pun berkata,”kematian mereka adalah kecil jika dibandingkan dengan nabi Muhammad”.

Seterusnya kita lihat bagaimana sikap nabi ketika dalam kelaparan. Pada suatu hari Aisyah mengadu kelaparan kepada nabi dan pada saat itu baginda juga berada dalam kelaparan. Nabi pergi ke masjid untuk solat dua rakaat bermunajat kepada Allah. Ketika nabi masih berada di masjid, saidina Uthman telah datang ke rumah baginda untuk bertemu dengan baginda. “ya Aisyah, ke mana Rasulullah?” tanya Uthman. “Baginda berada di masjid memohon kepada Allah kerana kelaparan ya Uthman” ujar Aisyah. “ Mengapa tidak engkau katakana kepadaku bahawa Rasulullah dalam kelaparan. Mengapa engkau tidak memberitahu Abdul Rahman bin ‘Auf yang baginda dalam kelaparan ya Aisyah? Kami pasti akan membantu. Uthman pulang untuk menyediakan makanan Rasulullah dan dihantarkannya menggunakan dua ekor unta. Lalu nabi pulang dan bertanyakan kepada Aisyah jika ada apa-apa berlaku sepeninggalan baginda. Aisyah menjawab “ya  Rasulullah, jika engkau memohon kepada Allah pastilah dia akan mengabulkan permohonanmu”.

Pernah juga suatu ketika sahabat mengadu kelaparan ketika mereka sedang menggali parit untuk Perang Khandak. Di bahagian perut mereka diikat seketul batu untuk menahan kelaparan. Apabile diselak sedikit baju nabi, ternyata terdapat beberapa ketul batu yang diikat di perut baginda menununjukkan bahawa laparnya nabi adalah lebih lagi jika dibandingkan dengan sahabat yang lain namun baginda tidak megeluh walau sedikit pun ketika parit digali.

Terdapat juga seorang sahabat yang sentiasa merindukan nabi. Jika tidak dapat melihat nabi walau sehari dia akan merasakan kerinduan yang teramat. Walaupun rumahnya agak jauh dari rumah nabi Muhammad dia tetap akan cuba sedayanya untuk berjumpa dengan nabi setiap hari kerana kerinduannya. Akan tetapi, dia akan merasa sedih sekiranya memikirkan tentang kematian kerana dia risau sekiranya dia tidak dapat masuk syurga. Jika dia dapat masuk syurga pun apakah dia akan bersama-sama nabi dalam syurga tingkat tertinggi Jannatul Firdaus. Maka turun sebuah ayat khas untuk memberitahu bahawa dia akan bersama-sama dengan nabi dalam syurga tersebut. Nabi tidak marah dengan lelaki tersebut kerana merinduinya bahkan Allah telah memberi khabar gembira untuk lelaki tersebut. Barulah dia berasa senang hati dan gembira mendengarkan jawapan tersebut. Rindu kerana Allah itu adalah rindu yang hakiki.

Apa yang dapat disimpulkan daripada kisah-kisah tersebut adalah kerinduan, kecintaan, mahabbah terhadap Rasulullah itu lahir kerana baginda adalah qudwah, contoh teladan yang sangatlah sempurna akhlaknya sehinggakan akhlak baginda disamakan dengan al-Quran. Bagaimana seorang pemimpin agung yang sama-sama hidup dalam kesusahan walaupun dalam sekelip mata sahaja baginda boleh mendapatkan kemewahan kerana Jibril pernah menawarkan untuk menukarkan gunung-gunung menjadi emas buat baginda, dan melantik baginda menjadi raja namun baginda tolak. Kerana baginda memikirkan tidak akan menjadi alasan untuk umatnya nanti untuk tidak berdakwah kerana berada dalam kemiskinan, kelaparan dan kesusahan. Baginda lebih rela sama-sama menanggung keperitan umatnya daripada merasakan nikmat kemewahan. Seharusnya pemimpin pada masa kini mempunyai nilai yang sama seperti baginda jika benar kita mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah dalam kalimat syahadat yang menjadi sumpah setia kita.

Kesimpulan ringkas tentang keistimewaan nabi yang menyebabkan baginda sentiasa dirindui dan disayangi:
1. rahmatan lil’alamin
2. nabi berkata dan melakukan apa yabg baginda katakan.

Alhamdulillah sekadar ini sahajalah perkongsian pada hari ini. Moga kita sama-sama dapat mengambil manfaat dalam usaha kita untuk membuktikan firman Allah yang menhatakan bahawa kita adalah umat yang terbaik.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan meraka adalah orang-orang yang fasik.

(Al-‘imran: 110)

Friday, 31 January 2014

PERLUNYA TAWADHU' SEBAGAI MUSLIM

Bismillah..
Assalamualaikum warahmatullah semua. Sungguh lama sekali tak berceloteh di blog sendiri. Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk mengetik kata orang Indonesia atau bahasa Melayunya menaip pada tika dan saat ini.

Pada kesempatan kali ini, saya akan berkongsikan sedikit ilmu yang telah diberikan mengenai apa yang dikatakan tawadhu’. Hanya sekadar perkongsian ringan yang tidak memerlukan anda untuk memerah otak untuk memahami. Sebolehnya bahasa yang paling mudah akan digunakan agar manfaatnya dapat sama-sama kita fahami fahami dan sampaikan pda rakan-rakan yang tak berkesempatan untuk membaca di blog saya yang serba kekurangan ini.

Islam adalah sebuah agama syumul yang mengajarkan pelbagai nilai baik yang praktikal dan sesuai dengan jiwa seluruh umat manusia. Salah satu akhlak baik yang diajar di dalam Islam adalah sifat tawadhu’ yang bermaksud rendah diri di hadapan Allah dengan serendah-rendahnya selain meyakini bahawa hamba Allah itu tidak sempurna dan mempunyai banyak kekurangan.

Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredahaiNya) ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapakan kata-kata kepada mereka mereka menjawab denga perkataan selamat yang tidak diingini
Alfurqan:63

Lawan kepada sikap tawadhu’ ini ialah sikap sombong dan takbur. Sombong yang paling ditakuti menguasai diri manusia adlah apabila mereka tidak mahu untuk menerima kebenaran agama Islam dalam segenap sudut. Sikap sombong akan memnyebabkan manusia keras hati serta memandang hina terhadap orang lain.

Sejarah ada menunjukkan beberapa kesombongan yang telah berlaku sejak awal penciptaan manusia lagi. Perkara ini terjadi apabila iblis dengan sombong dan takburnya mengingkari perintah Allah untuk tidak bersujud kepada nabi Adam a.s hanya kerana “aku dibuat daripada api sedangkan Adam dibuat daripada tanah yang hitam dan kotor”. Disebabkan kesombngan yang wujud dalam diri si iblis maka dia sanggup untuk tidak mematuhi Rabbnya.

Begitu juga dengan Firaun yang sememangnya terkenal dengan sifat sombong takburnya sehinggakan dia mengakui bahawa dirinya adalah tuhan. Begitulah kesombongan terbesar dalam sejarah peradaban manusia yang mana pelbagai iktibar boleh kita ambil akibat daripada mengabikan sikap tawadhu’ dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.

Sifat tawadhu’ adalah sifat orang beriman. Sifat ini tidak datang dengan sendirinya seperti terbitnya matahari di waktu siang dan munculnya bulan di waktu malam tetapi memerlukan latihan secara istiqamah atau berterusan. Antara latihan yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut:
·         
       Membaca, mentafsir, mentadabbur al-Quran
       Bersikap jujur dalam setiap perkara
·         Amanah dalam melaksanakan tanggungjawab
·         Mencontohi nabi Muhammad dalam setiap tindakan
·         Mencontohi para sahabat nabi Muhammad
·         Sentiasa inga bahawa semua nikmat adalah pinjaman dari Allah
·         Menjauhi sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat yang buruk)

Maka setelah kita mengetahui tentang perkara ini, mudah-mudahanAllah memberi kita kelapangan, kekuatan dan hidayah agar kita dapat mempraktikkan ilmu yang telah diperoleh kerana sebaik-baik ilmu adalah ilmu yang diamalkan.

Jadi sekadar ini sahaja perkongsian pada kali ini. Moga Allah sentiasa merahmati kita dalam kehidupan.
Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina di Malaysia dan walau di mana anda berada.
Sekian assalamualaikum. J