Assalamualaikum..
Apa khabar
iman tatkala membaca entry kali ini? Harap-harap dalam keadaan yang sihat
walafiat hendaknya. Kali ini post yang akan dimuatkan merupakan sebuah wacana
yang diambil isinya daripada khutbah Jumaat di Masjid Universitas Esa Unggul. Menceritakan
tentang tangisan manusia yang seharusnya mempunyai tujuan mengapa Allah
menciptakannya.
Saban hari
kita dapat melihat kanak-kanak menangis kerana dimarahi oleh kedua ibu bapanya,
kerana kehilangan insan tersayang dan dikeranakan oleh pelbagai perkara yang
lain lagi. Namun apakah layak air mata tersebut dititiskan dan apakah adil
(meletakkan sesuatu pada tempatnya) dibazirkan air mata itu begitu sahaja. Selain
daripada menjadi sistem imuniti badan yang mana dapat mencegah bakteria daripada
memasuki mata, air mata diciptakan atas
tujuan perhambaan diri kepada yang Maha Esa.
Seharusnya tangisan
itu dikeluarkan kerana dua perkara. Pertama kerana khauf atau takutkan Allah
dan kedua kerana sifat rajak atau berharap. Takut dapat diertikan sebagai takut
seandainya amalan seharian yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Namun
pada masa yang sama, sifat berharap
memainkan peranan dengan melengkapkan lagi rasa ketakutan tersebut. Seandainya kita
takut amalan tidak diterimaNya, maka kita perlulah terus berharap agar amalan
itu diterima. Kefahaman yang padu tentang dua elemen ini boleh menyebabkan
mengalirnya air mata yang sememangnya layak dititiskan. Air mata tersebut akan
dikira sebagai amal ibadah kepada Allah.
Ingin dikongsikan
peribadi salah seorang sahabat nabi yang bernama Umar al-Khattab yang bergelar
al-farouk (pemisah antara hak dan batil). Beliau adalah seorang yang sangat
tegas terhadap kezaliman. Terketar musuh apabila namanya disebut dan ketika
diketahui bahawa beliau menyertai peperangan. Dua empayar besar pada zamannya,
Rom dan Parsi juga gentar akan Saiyidina Umar. Hal tersebut menunjukkan betapa
tegas dan beraninya Saiyidina Umar sehinggakan semuanya ibarat siput yang
disentuh akan masuk ke dalam cengkerangnya semula.
Walaupun luarannya
adalah seperti yang telah digambarkan, namun hati Saiyidina Umar adalah
tersangat lembut dan halus. Saat beliau berdiri mendirikan solat menghadap
Allah dan berzikir, air matanya akan menitis seperti menitisnya embun di pagi
hari. Tangisannya itu adalah disebabkan beliau begitu takut seandainya Allah
tidak menerima ibadahnya walaupun telah dijanjikan syurga. Begitulah kelembutan
hati seorang sahabat yang juga digeruni oleh syaitan. Dalam seribu orang, belum
tentu terlahirnya khalifah seperti Saiyidina Umar. Ahli agama telah banyak
terlahir namun pada hakikatnya, tahap keimanan mereka masih tidak boleh
mencapai keimanan para sahabat nabi Muhammad s.a.w.
“Dan mereka merendahkan diri
mereka bersujud sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk”
Al-Isra’: 109.
Ayat di atas
menjelaskan bagaimana sekiranya seseorang itu memperoleh khusyuk dalam solat. Saat
itu, hati dan akal menjadi satu. Sekiranya tiada connection antara hati
dan akal semasa menghadap Allah, maka luluhlah hati tersebut. Segala sesuatu
yang dilakukan akan mempunyai intervensi Allah bila mana hati dan akal sentiasa
berhubungan antara satu sama lain.
Di saat nabi
Muhammad meminta Ibnu Mas’ud untuk membacakan ayat-ayat Allah kepada baginda,
beliau menjawab: “bagaimana harus aku bacakan ayat-ayat itu sedangkan ayat
tersebut diturunkan kepadamu oleh Allah melalui Jibril”. Nabi menjawab: “Aku
sangat senang mendengar bacaanmu”. Lalu dibacakan surah an-Nisa’. Ketika Ibnu
Mas’ud membacakan ayat-ayat tersebut tiba-tiba baginda Muhammad berkata: “Ya
Mas’ud berhenti. Jangan dilanjutkan bacaanmu. Aku tidak kuat untuk mendengar
ayat-ayat Allah dibacakan”. Wajah baginda kelihatan murung dan baginda
menitiskan air mata. Begitulah hebatnya kefahaman nabi terhadap al-Quran yang
sememangnya menjadi petunjuk sepanjang zaman. Air mata beginilah yang harus
kita cuba untuk titiskan.
“Tidak akan masuk neraka
Jahannam seandainya mata seseorang menangis kerana takut kepada Allah”. (Abu
Hurairah)
Di akhir zaman
kelak, akan ada sekumpulan manusia yang berkata bahawa menangis di depan Allah
itu bid’ah pada hal telah jelas diterangkan tentang perkara ini dalam al-Quran
dan hadith nabi. Diharapkan kita terhindar daripada terjerumus ke dalam
golongan tersebut.
Sabda nabi:
“Orang yang hati susah
menangis dan kering air mata maka kering dan bekulah hati”.
Pada kebiasaannya,
keadaan sebegini berlaku terhadap orang-orang yang mempunyai penyakit hati,
wahan iaitu cintakan dunia. Segala perkara yang haram menjadi halal bagi
mereka. Arak menjadi minuman seharian mereka. Judi menjadi permainan yang
mengisi masa lapang mereka. Perempuan menjadi ‘makanan’ seharian mereka. Begitulah
sebaliknya.
Salman al-Farisi
mengatakan bahawa beliau tidak pernah tertawa dalam tiga perkara. Pertama ketika
ditinggalkan orang dicintai. Beliau menangis ketika wafatnya Rasulullah dan
empat sahabat baginda. Kedua adalah ketika beliau mengingati sakitnya sakaratul
maut nanti. Beliau sentiasa teringat akan keadaan atau kisah ketika nabi
Muhammad menghadapi sakaratul maut. Ketiga adalah ketika berdiri menghadap
Allah dengan solat.
Begitulah bagaimana
Allah mengajarkan kita tentang menangis. Diharapakan selepas ini setiap air
mata yang jatuh itu adalah kerana sifat khauf dan rajak kita kepada Allah. Menangislah
selagi mana kita mampu. Selagi mana buku catatan amalan belum ditutup. Selagi mana
nyawa belum lagi di hujung kerongkong. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat
mengambil pengajaran daripada sedikit perkongsian ini. Wallahua’lam.