Monday 3 February 2014

MUHAMMAD S.A.W INSAN ISTIMEWA

Assalamualaikum..

Alhamdulillah. Berikutan dengan tajuk yang kat atas tu, penulisan kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi tentang apakah keistimewaan nabi Muhammad s.a.w sehinggakan nama baginda masih lagi disebut-sebut, dikenang-kenang dan dirindu-rindu sehingga ke tika dan saat ini. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku kepada kekasih Allah insan istimewa Muhammad s.a.w (jangan lupa sahut ya nama baginda ni, syafaat menanti anda in shaa Allah)?

Keistimewaan pertama baginda adalah rahmatan lil’alamin. Baginda adalah manusia yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Bukan sepaerti nabi-nabi terdahulu yang diutuskan hanya untuk sesebuah kaum sahaja. Berdasarkan kepada konteks rahmatan lil’alamin ini, terdapat tiga tujuan mengapa baginda diutuskan.

Pertama adalah untuk mengajak dan mengajar manusia mentauhidkan Allah. Masyarakat arab jahiliyah pada masa dahulu, sembahan mereka adalah pelbagai. Ada yang menyembah pokok, batu, matahari, berhala dan sebagainya mengikut hawa nafsu mereka sendiri. Melalui pesuruhNya manusia diajak untuk kembali kepada fitrah iaitu menyembah Allah Tuhan yang satu.

Tauhid adalah amat penting dalam kehidupan manusia tanpa mengambil kira masa kehidupan sesebuah kaum. Sehingga tahun 2014 ini, hal ini masih tidak berubah dan menjadi pokok pangkal berjayanya seseorang bergelar Muslim itu untuk memuslimkan dan memukminkan diri dan masyarakat di sekitarnya sepertimana baginda nabi Muhammad s.a.w. masalah seperti perceraian, ibu bapa takut anak tak cemerlang dalam pelajaran, si isteri takut suaminya tak setia dan bermain kayu tiga adalah berpunca daripada kegoyahan tauhid dalam diri individu muslim. Hai, kata mentauhidkan Allah, tapi takkan perkara-perkara macam tu boleh timbul dalam benak fikiran?

Manusia pada masa kini hanyalah mentauhidkan kehidupan materialistik. Sibuk mengumpul harta dunia sehinggakan lupa untuk perbelanjaan hari akhirat. Kata nabi penyakit takut mati akan merosakkan manusia di mana dunia itu digigit lebih kuat daripada akhirat. Nak bukti? Cuba kita lihat masyarakat pada hari ini. Apa akan berlaku sekiranya harta seperti kereta atau motosikal hilang? Ha kecoh ssatu kampung. Kalau duduk kat Kluang, ha kcohlah satu Kluang jawabnya.

Tetapi saban hari dada akhbar memaparkan masalah zina, buang bayi dan sebagainya, adakah masyarakat akan kecoh seperti kecohnya kereta yang hilang? Apakah kita akan bersungguh-sungguh mengambil inisiatif untuk membantu menanggulangi masalah tersebut. Sungguh, benarlah apa yang dikatakan nabi. Maka, sekiranya kita teliti keistimewaan pengutusan nabi dalam konteks mentauhidkan Allah ini, masalah-masalah seperti yang telah diperkatakan tidak akan timbul.

Keitimewaan baginda yang kedua dalam konteks rahmatan lil’alamin adalah baginda mengajar kita untuk mencintai akhirat lebih daripada mencintai kehidupan dunia yang hanya sementara ini. Seterusnya yang ketiga adalah memegang kehidupan bersaudara lebih hebat daripada pertalian darah kerana kita umat Islam diikat oleh akidah yang satu. Dapat disimpulkan bahawa ketiga-tiga konteks ini adalah kunci kepada keharmonian hidup sebagai muslim. Jika masyarakat islam pada masa kini memegang teguh ketiga-tiga kunci ini sebagaimana yang dapat kita sendiri ketahui melalui sirah nabawiyyah, bagaiman kehidupan baginda bersama sahabat, bersama orang tua, kanak-kanak dan sebagainya.

Pernah suatu ketika seorang perempuan tua bertanya kepada baginda. “ya Rasulullah, apakah orang tua seperti akau akan masuk ke dalam syurga”. Jawab nabi “tidak”. Wanita tersebut langsung bersedih. Melihat keadaan wanita tua tersebut baginda lantas menyambung ucapan baginda. “oOrang tua tak masuk syurga sebab di syurga semuanya adalah orang-orang muda”. Mendengar ucapan nabi sebegitu latas tersenyumlah dia. Begitulah gurauan nabi yang membawa hanya kepada perkara kebenaran.

Keistimewaan nabi yang kedua adalah sifat fizikal nabi yang tiada duanya yang mana dijelaskan oleh para sahabat, penciptaan nabi adalah sesempurna manusia. Tingginya tidak telalu tinggi, rendahnya tidak terlalu rendah, apabila berjalan seperti menuruni bukit, buu dada baginda yang halus sehingga ke pusat, tanda kenabian yang ada di belakang tengkuknya dann sebagainya. Begitulah antara gambaran fizikal nabi Muhammad s.a.w. Namun, apa yang boleh kita tiru sebagai umatnya adalah akhlak baginda yang agung. Kepimpinan yang dibawa oleh nabi adalah melalui teladan.

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
(Al-Qalam:4)

Ingin dikongsi sebuah kisah untuk menunjukkan bagaimana kecintaan seorang hamba Allah terhadap nabi kerana begitu dia menghayati keperibadian dan keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w.  Seorang wanita yang suaminya, ayahnya dan anak lelaki telah pergi bersama-sama Rasulullah ke Perang Badar. Dengan takdir Allah ketiga-tiganya telah gugur syahid. Seorang sahabat pergi menemuinya untuk memberi perkhabaran tersebut. Apabila diberitakan kepadanya dia malah bertanyakan kembali kepada sahabat, ‘bagaimana dengan Rasulullah?”. Dikatakan kepadanya lagi bahawa suamimu, ayahmu serta anak lelakimu telah gugur di medan perang namun dia masih bertanyakan, “bagaimana dengan Rasulullah?”. Dan sekali lagi sahabat mengatakan tentang berita kematian suami, ayah serta anaknya dia langsung masih bertanyakan soalan yang sama. Lalu sahabat menjawab Rasulullah masih selamat. Lantas wanita itu pun berkata,”kematian mereka adalah kecil jika dibandingkan dengan nabi Muhammad”.

Seterusnya kita lihat bagaimana sikap nabi ketika dalam kelaparan. Pada suatu hari Aisyah mengadu kelaparan kepada nabi dan pada saat itu baginda juga berada dalam kelaparan. Nabi pergi ke masjid untuk solat dua rakaat bermunajat kepada Allah. Ketika nabi masih berada di masjid, saidina Uthman telah datang ke rumah baginda untuk bertemu dengan baginda. “ya Aisyah, ke mana Rasulullah?” tanya Uthman. “Baginda berada di masjid memohon kepada Allah kerana kelaparan ya Uthman” ujar Aisyah. “ Mengapa tidak engkau katakana kepadaku bahawa Rasulullah dalam kelaparan. Mengapa engkau tidak memberitahu Abdul Rahman bin ‘Auf yang baginda dalam kelaparan ya Aisyah? Kami pasti akan membantu. Uthman pulang untuk menyediakan makanan Rasulullah dan dihantarkannya menggunakan dua ekor unta. Lalu nabi pulang dan bertanyakan kepada Aisyah jika ada apa-apa berlaku sepeninggalan baginda. Aisyah menjawab “ya  Rasulullah, jika engkau memohon kepada Allah pastilah dia akan mengabulkan permohonanmu”.

Pernah juga suatu ketika sahabat mengadu kelaparan ketika mereka sedang menggali parit untuk Perang Khandak. Di bahagian perut mereka diikat seketul batu untuk menahan kelaparan. Apabile diselak sedikit baju nabi, ternyata terdapat beberapa ketul batu yang diikat di perut baginda menununjukkan bahawa laparnya nabi adalah lebih lagi jika dibandingkan dengan sahabat yang lain namun baginda tidak megeluh walau sedikit pun ketika parit digali.

Terdapat juga seorang sahabat yang sentiasa merindukan nabi. Jika tidak dapat melihat nabi walau sehari dia akan merasakan kerinduan yang teramat. Walaupun rumahnya agak jauh dari rumah nabi Muhammad dia tetap akan cuba sedayanya untuk berjumpa dengan nabi setiap hari kerana kerinduannya. Akan tetapi, dia akan merasa sedih sekiranya memikirkan tentang kematian kerana dia risau sekiranya dia tidak dapat masuk syurga. Jika dia dapat masuk syurga pun apakah dia akan bersama-sama nabi dalam syurga tingkat tertinggi Jannatul Firdaus. Maka turun sebuah ayat khas untuk memberitahu bahawa dia akan bersama-sama dengan nabi dalam syurga tersebut. Nabi tidak marah dengan lelaki tersebut kerana merinduinya bahkan Allah telah memberi khabar gembira untuk lelaki tersebut. Barulah dia berasa senang hati dan gembira mendengarkan jawapan tersebut. Rindu kerana Allah itu adalah rindu yang hakiki.

Apa yang dapat disimpulkan daripada kisah-kisah tersebut adalah kerinduan, kecintaan, mahabbah terhadap Rasulullah itu lahir kerana baginda adalah qudwah, contoh teladan yang sangatlah sempurna akhlaknya sehinggakan akhlak baginda disamakan dengan al-Quran. Bagaimana seorang pemimpin agung yang sama-sama hidup dalam kesusahan walaupun dalam sekelip mata sahaja baginda boleh mendapatkan kemewahan kerana Jibril pernah menawarkan untuk menukarkan gunung-gunung menjadi emas buat baginda, dan melantik baginda menjadi raja namun baginda tolak. Kerana baginda memikirkan tidak akan menjadi alasan untuk umatnya nanti untuk tidak berdakwah kerana berada dalam kemiskinan, kelaparan dan kesusahan. Baginda lebih rela sama-sama menanggung keperitan umatnya daripada merasakan nikmat kemewahan. Seharusnya pemimpin pada masa kini mempunyai nilai yang sama seperti baginda jika benar kita mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah dalam kalimat syahadat yang menjadi sumpah setia kita.

Kesimpulan ringkas tentang keistimewaan nabi yang menyebabkan baginda sentiasa dirindui dan disayangi:
1. rahmatan lil’alamin
2. nabi berkata dan melakukan apa yabg baginda katakan.

Alhamdulillah sekadar ini sahajalah perkongsian pada hari ini. Moga kita sama-sama dapat mengambil manfaat dalam usaha kita untuk membuktikan firman Allah yang menhatakan bahawa kita adalah umat yang terbaik.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan meraka adalah orang-orang yang fasik.

(Al-‘imran: 110)