Wednesday 7 November 2012

SELAYAKNYA TITISAN AIR MATA


Assalamualaikum..

Apa khabar iman tatkala membaca entry kali ini? Harap-harap dalam keadaan yang sihat walafiat hendaknya. Kali ini post yang akan dimuatkan merupakan sebuah wacana yang diambil isinya daripada khutbah Jumaat di Masjid Universitas Esa Unggul. Menceritakan tentang tangisan manusia yang seharusnya mempunyai tujuan mengapa Allah menciptakannya.

Saban hari kita dapat melihat kanak-kanak menangis kerana dimarahi oleh kedua ibu bapanya, kerana kehilangan insan tersayang dan dikeranakan oleh pelbagai perkara yang lain lagi. Namun apakah layak air mata tersebut dititiskan dan apakah adil (meletakkan sesuatu pada tempatnya) dibazirkan air mata itu begitu sahaja. Selain daripada menjadi sistem imuniti badan yang mana dapat mencegah bakteria daripada memasuki mata,  air mata diciptakan atas tujuan perhambaan diri kepada yang Maha Esa.

Seharusnya tangisan itu dikeluarkan kerana dua perkara. Pertama kerana khauf atau takutkan Allah dan kedua kerana sifat rajak atau berharap. Takut dapat diertikan sebagai takut seandainya amalan seharian yang dilakukan tidak diterima oleh Allah. Namun pada masa yang sama,  sifat berharap memainkan peranan dengan melengkapkan lagi rasa ketakutan tersebut. Seandainya kita takut amalan tidak diterimaNya, maka kita perlulah terus berharap agar amalan itu diterima. Kefahaman yang padu tentang dua elemen ini boleh menyebabkan mengalirnya air mata yang sememangnya layak dititiskan. Air mata tersebut akan dikira sebagai amal ibadah kepada Allah.

Ingin dikongsikan peribadi salah seorang sahabat nabi yang bernama Umar al-Khattab yang bergelar al-farouk (pemisah antara hak dan batil). Beliau adalah seorang yang sangat tegas terhadap kezaliman. Terketar musuh apabila namanya disebut dan ketika diketahui bahawa beliau menyertai peperangan. Dua empayar besar pada zamannya, Rom dan Parsi juga gentar akan Saiyidina Umar. Hal tersebut menunjukkan betapa tegas dan beraninya Saiyidina Umar sehinggakan semuanya ibarat siput yang disentuh akan masuk ke dalam cengkerangnya semula.

Walaupun luarannya adalah seperti yang telah digambarkan, namun hati Saiyidina Umar adalah tersangat lembut dan halus. Saat beliau berdiri mendirikan solat menghadap Allah dan berzikir, air matanya akan menitis seperti menitisnya embun di pagi hari. Tangisannya itu adalah disebabkan beliau begitu takut seandainya Allah tidak menerima ibadahnya walaupun telah dijanjikan syurga. Begitulah kelembutan hati seorang sahabat yang juga digeruni oleh syaitan. Dalam seribu orang, belum tentu terlahirnya khalifah seperti Saiyidina Umar. Ahli agama telah banyak terlahir namun pada hakikatnya, tahap keimanan mereka masih tidak boleh mencapai keimanan para sahabat nabi Muhammad s.a.w.

“Dan mereka merendahkan diri mereka bersujud sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk”
Al-Isra’: 109.

Ayat di atas menjelaskan bagaimana sekiranya seseorang itu memperoleh khusyuk dalam solat. Saat itu, hati dan akal menjadi satu. Sekiranya tiada connection antara hati dan akal semasa menghadap Allah, maka luluhlah hati tersebut. Segala sesuatu yang dilakukan akan mempunyai intervensi Allah bila mana hati dan akal sentiasa berhubungan antara satu sama lain.

Di saat nabi Muhammad meminta Ibnu Mas’ud untuk membacakan ayat-ayat Allah kepada baginda, beliau menjawab: “bagaimana harus aku bacakan ayat-ayat itu sedangkan ayat tersebut diturunkan kepadamu oleh Allah melalui Jibril”. Nabi menjawab: “Aku sangat senang mendengar bacaanmu”. Lalu dibacakan surah an-Nisa’. Ketika Ibnu Mas’ud membacakan ayat-ayat tersebut tiba-tiba baginda Muhammad berkata: “Ya Mas’ud berhenti. Jangan dilanjutkan bacaanmu. Aku tidak kuat untuk mendengar ayat-ayat Allah dibacakan”. Wajah baginda kelihatan murung dan baginda menitiskan air mata. Begitulah hebatnya kefahaman nabi terhadap al-Quran yang sememangnya menjadi petunjuk sepanjang zaman. Air mata beginilah yang harus kita cuba untuk titiskan.

“Tidak akan masuk neraka Jahannam seandainya mata seseorang menangis kerana takut kepada Allah”. (Abu Hurairah)

Di akhir zaman kelak, akan ada sekumpulan manusia yang berkata bahawa menangis di depan Allah itu bid’ah pada hal telah jelas diterangkan tentang perkara ini dalam al-Quran dan hadith nabi. Diharapkan kita terhindar daripada terjerumus ke dalam golongan tersebut.

Sabda nabi:
“Orang yang hati susah menangis dan kering air mata maka kering dan bekulah hati”.

Pada kebiasaannya, keadaan sebegini berlaku terhadap orang-orang yang mempunyai penyakit hati, wahan iaitu cintakan dunia. Segala perkara yang haram menjadi halal bagi mereka. Arak menjadi minuman seharian mereka. Judi menjadi permainan yang mengisi masa lapang mereka. Perempuan menjadi ‘makanan’ seharian mereka. Begitulah sebaliknya.

Salman al-Farisi mengatakan bahawa beliau tidak pernah tertawa dalam tiga perkara. Pertama ketika ditinggalkan orang dicintai. Beliau menangis ketika wafatnya Rasulullah dan empat sahabat baginda. Kedua adalah ketika beliau mengingati sakitnya sakaratul maut nanti. Beliau sentiasa teringat akan keadaan atau kisah ketika nabi Muhammad menghadapi sakaratul maut. Ketiga adalah ketika berdiri menghadap Allah dengan solat.

Begitulah bagaimana Allah mengajarkan kita tentang menangis. Diharapakan selepas ini setiap air mata yang jatuh itu adalah kerana sifat khauf dan rajak kita kepada Allah. Menangislah selagi mana kita mampu. Selagi mana buku catatan amalan belum ditutup. Selagi mana nyawa belum lagi di hujung kerongkong. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripada sedikit perkongsian ini. Wallahua’lam.