Wednesday 24 October 2012

AIDILADHA BERTANDANG KEMBALI


Assalamualaikum..
Blog kali ini akan dimuatkan dengan sesuatu yang berunsur ilmiah agar sama-sama dapat kita kongsikan pengetahuan kepada mereka-mereka yang mungkin tidak tahu mengenainya atau kepada yang telah sedia maklum, maka peluang ini boleh dimanfaatkan untuk menambah kefahaman mengenai topik yang akan diperkatakan pada kali ini.

Pada saat dan ketika ini, berbondong-bondong, berjuta-juta umat Islam berkumpul di suatu tempat yang sememangnya menjadi idaman setiap individu yang bernama Muslim iaitu di Baitullah, Makkah. Masing-masing mempunyai niat suci yang sama iaitu menunaikan rukun Islam yang kelima. Bagi golongan yang statusnya bukan lagi bujang atau bachelor , insyaAllah kelima-lima rukun Islam yang telah kita sedia maklum itu telah berjaya dijalankan dengan syarat haji yang dilakukan adalah haji yang mabrur bagi rukun yang kelima.
Penyatuan umat Islam pada saat ini adalah gambaran manusia di padang mahsyar kelak. Semuanya berpakaian seragam putih tanpa mengikut status, pangkat, darjat atau apa sahaja jawatan yang di sandang. Hati haruslah diikhlaskan, anggota sentiasa bergerak menunjukkan tanda pengabdian kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Alangkah bagusnya seandainya penyatuan ini diterjemahkan dalam isu mengembalikan semula hak rakyat Palestin dan mewujudkan semula konsep pentadbiran khilafah islamiyah sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w.  Sedikit terlari daripada tajuk, namun itulah hakikat atau pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa haji selain daripada apa yang telah dipelajari di sekolah.
Memakai ihram menunujukkan manusia itu di sisi Allah adalah sama sahaja namun, terdapat satu perkara besar yang membezakan darjat seorang Muslim dengan Muslim yang lainnya iaitu takwa. Sekiranya seorang Muslim itu telah dapat bertakwa kepada Allah, maka ‘pangkat’nya telah dinaikkan kepada Mu’min. Di situlah letaknya perbezaan antara Muslim dan Mu’min. Orang-orang Mu’min akan lebih memahami hakikat ibadah haji bukan hanya sekadar yang tersuratnya sahaja. Malahan mereka juga berjaya membuka minda mereka, menyelusuri seluruh aspek pemikiran mereka mencari maksud yang tersirat daripada ibadah yang telah dipelopori oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Dalil dari ibadah haji ini terdapat pada permulaan ayat 196 surah al-Baqarah yang bermaksud
Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah...”.
Dengan kefahaman yang mantap tentang ibadah haji maka niat kerana Allah itu akan menjadi tunjang kepada pemergiannya seorang hamba untuk menyahut seruan Tuhannya di rumahNya.
Namun, apa yang lebih signifikan tentang ibadah haji ini adalah tentang ibadah qurban atau juga disebut Hari Raya Aidiladha. Seperti yang kita sedia maklum, sejarah daripada perayaan besar umat Islam ini adalah bila mana Allah Ta’ala mengarahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail. Peristiwa tersebut menggambarkan sebuah pengorbanan yang harus dilakukan seseorang dalam menjalani kehidupan sebagai seorang yang beragama Islam.


Terdapat satu kisah mengenai Saidina Uthman yang terkenal sebagai seorang yang pandai berniaga. Suatu saat ketika tiba musim berdagang, Saidina Uthman telah membawa barang-barang dagangannya. Datang seorang pembeli untuk membeli barang-barangnya dengan tawaran harga yang sangat lumayan keuntungannya. Namun beliau menjawab bahawa barang tersebut telah ditempah dan diletakkan harga yang lebih tinggi nilainya. Datang lagi seorang pembeli menawarkan harga yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya. Saidina Uthman masih lagi memberikan jawapan yang sama. Kemudian, datang pembeli yang seterusnya dan jawapan tersebut masih lagi diberikan oleh beliau kepada mereka. Semua pembeli tersebut tertanya-tanya siapakah yang berani mewarakan harga yang lebih tinggi daripada nilai yang ditawarkan mereka. Maka jawab Saidina Uthman, Allahlah yang telah menwarkan harga yang lebih tinggi daripada mereka. Barang-barang dagangannya akan diberikan kepada fakir miskin lalu dibacakan surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaanNYa) lagi Maha Mengetahui”.
Disebabkan kefahaman yang begitu mendalam tentang agama, maka Saidina Uthman lebih sanggup mengorbankan keuntungan yang ditawarkan pembeli-pembeli tersebut demi mengejar sesuatu yang maya di dunia namun nyata di akhirat kelak.
Ibadah qurban memberi peluang kepada kita untuk menjaga hubungan sesama manusia atau hablum minannas. Hubungan sesama manusia haruslah dan sangat perlu untuk dijaga kerana di dalam Al-Quran itu sendiri 80% kandungannya adalah berkenaan hubungan sesama manusia. Begitu juga hadith-hadith baginda Muhammad. Daging korban yang disedekahkan kepada fakir boleh memberikan sinar kebahagiaan jauh di sudut hati mereka. Ada antara meraka yang hanya dapat merasakan daging seminggu sekali, ada yang sebulan sekali, ada yang setahun sekali dan ada juga yang tidak pernah boleh merasakan daging kerana kefakiran. Disebabkan itu, ibadah korban memberi peluang kepada meraka untuk sama-sama mendapatkan salah satu daripada nikmat kurniaan Allah ini. Dengan ini, silaturrahim sesama Islam itu akan lebih terjaga di samping mendidik hati pemberi sedekah tersebut agar tidak memandang golongan fakir ini sebelah mata. Membiarkan mereka bergelandangan di tepian jalan. Setidaknya, harus disedari kehadiran mereka di sekeliling kita. Itulah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad sehinggakan baginda mengatakan tidak lengkap iman seseorang itu jika dia tidak mencintai saudaranya lebih daripada dirinya sendiri.
Melalui sudut pandang seorang pelajar, pengorbanan juga perlulah dilakukan demi mencapai kejayaan. Masa yang terluang perlulah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengulangkaji pelajaran. Harus sentiasa tersemat dalam sanubari bahawa setiap anak yang keluar dari rahim ibu itu adalah menjadi harapan ibu bapa agar menjadi orang berguna di suatu masa nanti. Sanggupkah kita membiarakan harapan mereka yang menggunung tinggi itu hancur musnah kerana keegoaan kita yang lebih mementingkan budaya hedonisme daripada air mata kegembiraan mereka? Lakukanlah pengorbanan kerana Allah bukan kerana terpaksa. InsyaAllah penilaian Maha Pencipta itu adalah yang terbaik kerana sebagai Pencipta, Dia lebih mengenali ciptaanNya lebih daripada kita mengenali diri sendiri.
Akhirulkalam, setiap perbuatan itu yang dinilai adalah diakhirnya. Bagi yang sedang melakukan pengorbanan, ayuh dayunglah sampan anda selaju-lajunya biar sampai ke daratan di seberang sana. Dakilah gunung yang mencuram tinggi hingga sampai di puncaknya. Beramallah dengan istiqamah agar amalan diterimaNya kerana amal yang terbaik adalah amalan yang istiqamah biarpun sedikit.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA!

No comments:

Post a Comment