Assalamualaikum..
Blog kali ini akan dimuatkan dengan sesuatu yang
berunsur ilmiah agar sama-sama dapat kita kongsikan pengetahuan kepada
mereka-mereka yang mungkin tidak tahu mengenainya atau kepada yang telah sedia
maklum, maka peluang ini boleh dimanfaatkan untuk menambah kefahaman mengenai topik
yang akan diperkatakan pada kali ini.
Pada saat dan ketika
ini, berbondong-bondong, berjuta-juta umat Islam berkumpul di suatu tempat yang
sememangnya menjadi idaman setiap individu yang bernama Muslim iaitu di
Baitullah, Makkah. Masing-masing mempunyai niat suci yang sama iaitu menunaikan
rukun Islam yang kelima. Bagi golongan yang statusnya bukan lagi bujang atau bachelor
, insyaAllah kelima-lima rukun Islam yang telah kita sedia maklum itu telah
berjaya dijalankan dengan syarat haji yang dilakukan adalah haji yang mabrur
bagi rukun yang kelima.
Penyatuan umat Islam
pada saat ini adalah gambaran manusia di padang mahsyar kelak. Semuanya berpakaian
seragam putih tanpa mengikut status, pangkat, darjat atau apa sahaja jawatan
yang di sandang. Hati haruslah diikhlaskan, anggota sentiasa bergerak
menunjukkan tanda pengabdian kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Alangkah bagusnya
seandainya penyatuan ini diterjemahkan dalam isu mengembalikan semula hak
rakyat Palestin dan mewujudkan semula konsep pentadbiran khilafah islamiyah
sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sedikit terlari daripada tajuk, namun itulah
hakikat atau pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa haji selain
daripada apa yang telah dipelajari di sekolah.
Memakai ihram
menunujukkan manusia itu di sisi Allah adalah sama sahaja namun, terdapat satu
perkara besar yang membezakan darjat seorang Muslim dengan Muslim yang lainnya
iaitu takwa. Sekiranya seorang Muslim itu telah dapat bertakwa kepada Allah,
maka ‘pangkat’nya telah dinaikkan kepada Mu’min. Di situlah letaknya perbezaan
antara Muslim dan Mu’min. Orang-orang Mu’min akan lebih memahami hakikat ibadah
haji bukan hanya sekadar yang tersuratnya sahaja. Malahan mereka juga berjaya
membuka minda mereka, menyelusuri seluruh aspek pemikiran mereka mencari maksud
yang tersirat daripada ibadah yang telah dipelopori oleh Nabi Ibrahim ‘alaihissalam.
Dalil dari ibadah haji ini terdapat pada permulaan ayat 196 surah al-Baqarah
yang bermaksud
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah...”.
Dengan kefahaman yang mantap tentang ibadah haji
maka niat kerana Allah itu akan menjadi tunjang kepada pemergiannya seorang
hamba untuk menyahut seruan Tuhannya di rumahNya.
Namun, apa yang lebih
signifikan tentang ibadah haji ini adalah tentang ibadah qurban atau juga
disebut Hari Raya Aidiladha. Seperti yang kita sedia maklum, sejarah daripada
perayaan besar umat Islam ini adalah bila mana Allah Ta’ala mengarahkan Nabi
Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail. Peristiwa tersebut menggambarkan
sebuah pengorbanan yang harus dilakukan seseorang dalam menjalani kehidupan
sebagai seorang yang beragama Islam.
Terdapat satu kisah
mengenai Saidina Uthman yang terkenal sebagai seorang yang pandai berniaga. Suatu
saat ketika tiba musim berdagang, Saidina Uthman telah membawa barang-barang
dagangannya. Datang seorang pembeli untuk membeli barang-barangnya dengan
tawaran harga yang sangat lumayan keuntungannya. Namun beliau menjawab bahawa
barang tersebut telah ditempah dan diletakkan harga yang lebih tinggi nilainya.
Datang lagi seorang pembeli menawarkan harga yang lebih tinggi daripada yang
sebelumnya. Saidina Uthman masih lagi memberikan jawapan yang sama. Kemudian,
datang pembeli yang seterusnya dan jawapan tersebut masih lagi diberikan oleh
beliau kepada mereka. Semua pembeli tersebut tertanya-tanya siapakah yang
berani mewarakan harga yang lebih tinggi daripada nilai yang ditawarkan mereka.
Maka jawab Saidina Uthman, Allahlah yang telah menwarkan harga yang lebih
tinggi daripada mereka. Barang-barang dagangannya akan diberikan kepada fakir
miskin lalu dibacakan surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang
yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang
menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai seratus biji. Allah
melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas
(kurniaanNYa) lagi Maha Mengetahui”.
Disebabkan kefahaman yang begitu mendalam tentang
agama, maka Saidina Uthman lebih sanggup mengorbankan keuntungan yang
ditawarkan pembeli-pembeli tersebut demi mengejar sesuatu yang maya di dunia
namun nyata di akhirat kelak.
Ibadah qurban memberi
peluang kepada kita untuk menjaga hubungan sesama manusia atau hablum
minannas. Hubungan sesama manusia haruslah dan sangat perlu untuk dijaga
kerana di dalam Al-Quran itu sendiri 80% kandungannya adalah berkenaan hubungan
sesama manusia. Begitu juga hadith-hadith baginda Muhammad. Daging korban yang
disedekahkan kepada fakir boleh memberikan sinar kebahagiaan jauh di sudut hati
mereka. Ada antara meraka yang hanya dapat merasakan daging seminggu sekali,
ada yang sebulan sekali, ada yang setahun sekali dan ada juga yang tidak pernah
boleh merasakan daging kerana kefakiran. Disebabkan itu, ibadah korban memberi
peluang kepada meraka untuk sama-sama mendapatkan salah satu daripada nikmat
kurniaan Allah ini. Dengan ini, silaturrahim sesama Islam itu akan lebih
terjaga di samping mendidik hati pemberi sedekah tersebut agar tidak memandang
golongan fakir ini sebelah mata. Membiarkan mereka bergelandangan di tepian
jalan. Setidaknya, harus disedari kehadiran mereka di sekeliling kita. Itulah yang
dianjurkan oleh Nabi Muhammad sehinggakan baginda mengatakan tidak lengkap iman
seseorang itu jika dia tidak mencintai saudaranya lebih daripada dirinya
sendiri.
Melalui sudut pandang
seorang pelajar, pengorbanan juga perlulah dilakukan demi mencapai kejayaan. Masa
yang terluang perlulah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengulangkaji pelajaran. Harus
sentiasa tersemat dalam sanubari bahawa setiap anak yang keluar dari rahim ibu
itu adalah menjadi harapan ibu bapa agar menjadi orang berguna di suatu masa
nanti. Sanggupkah kita membiarakan harapan mereka yang menggunung tinggi itu
hancur musnah kerana keegoaan kita yang lebih mementingkan budaya hedonisme
daripada air mata kegembiraan mereka? Lakukanlah pengorbanan kerana Allah bukan
kerana terpaksa. InsyaAllah penilaian Maha Pencipta itu adalah yang terbaik
kerana sebagai Pencipta, Dia lebih mengenali ciptaanNya lebih daripada kita
mengenali diri sendiri.
Akhirulkalam, setiap
perbuatan itu yang dinilai adalah diakhirnya. Bagi yang sedang melakukan
pengorbanan, ayuh dayunglah sampan anda selaju-lajunya biar sampai ke daratan
di seberang sana. Dakilah gunung yang mencuram tinggi hingga sampai di
puncaknya. Beramallah dengan istiqamah agar amalan diterimaNya kerana amal yang
terbaik adalah amalan yang istiqamah biarpun sedikit.
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA!