Wednesday 1 May 2013

SEPUTAR POLITIK MALAYSIA

Analisa: Sokongan Melayu terhadap PAS meningkat

Dr Zuhdi Marzuki,

Berikut adalah analisa terkini Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berdasarkan dapatan kajian UMCEDEL Universiti Malaya, Merdeka Center dan culaan jentera-jentera PAS di peringkat akar umbi.

1. Purata sokongan yang diperolehi oleh PAS daripada pengundi-pengundi Melayu pada masa kini di Semenangjung Malaysia adalah dalam trend menaik semula iaitu 45%, manakala sokongan pengundi Cina adalah masih stabil sekitar 70% (bagi sesetengah kawasan PAS bertanding ada yang melebihi 75%). Manakala di kalangan pengundi India sokong terhadap PAS berada di tahap 40%.

2. Sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada PAS telah mencapai 47% sebelum hari penamaan calon tetapi berlaku penurunan selepas penamaan calon, dan kembali meningkat semula sehingga dua hari yang lalu. PAS mensasarkan untuk mencapai 47% sokongan pengundi Melayu untuk PAS memenangi sekurang-kurangnya 46 kerusi parlimen.

3. Kemasukan Muhammad Taib ke dalam PAS dan beberapa lagi tokoh telah mendorong kepada berlakunya lonjakan sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada PAS beberapa hari selepas penamaan calon. Situasi ini diperkukuhkan dengan keretakan jentera UMNO disebabkan ketidakpuasan hati terhadap pemilihan calon.

4. Isu-isu yang dikitar semula oleh BN yang ditayangkan di dada akhbar dan skrin televesyen tentang PAS dan DAP tidak memberi kesan besar kepada pengundi-pengundi Melayu, melainkan hanya berkesan kepada penyokong-penyokong tegar Umno dan BN, melainkan satu isu (dirahsiakan untuk kepentingan strategi dalam PRU). Insha'ALlah PPP sedang berusaha memberi penjelasan isu ini kepada mereka yang terkeliru dengan mainan media Umno.

5. Pengundi-pengundi muda merupakan golongan yang menjadi faktor penentu kepada kemenangan PR dalam PRU kali ini, justeru kempen-kempen Umno dan BN melalui media tradisi mereka tidak begitu berkesan, berbanding dengan pertempuran di media baru seperti FB (ranking 1), Whatsapp (2), Twitter (3) dan Blog (4).

6. Berdasarkan trend sokongan sehingga hari ini terhadap PAS dan parti-parti komponen PR, PR insha'ALlah boleh memenangi PRU kali ini dengan 120 kerusi sekiranya tidak berlaku penyelewengan dan penipuan seperti yang sering disebut sebelum ini.

7. Daripada 120 kerusi parlimen ini yang dimenangi ini, PAS berupaya menyumbang sebanyak 34 kerusi, insha'ALlah, iaitu PAS boleh mengekalkan 24 kerusi yang telah di menangi sebelum ini dan 10 kerusi tambahan. 10 kerusi tambahan itu adalah 1 di Perlis, 2 di Terengganu, 1 di Pulau Pinang, 2 di Perak, 2 di Selangor, 1 di Pahang, 1 di Johor.

8. Terdapat 16 kerusi lagi yang peluang PAS untuk menang adalah cerah (45% - 50% undi popular), iaitu 2 di Perlis, 1 di Kedah, 1 di Terengganu, 2 di Perak, 1 di Wilayah Persekutuan, 2 di Negeri Sembilan, 3 di Pahang, 1 di Johor, 1 di Sarawak dan 2 di Sabah.

9. Terdapat dua kerusi Parlimen yang telah dimenangi oleh Umno PRU yang lalu iaitu Gua Musang dan Jeli, sokongan UMNO telah mengalami kemerosotan yang ketara, dan tidak mustahil boleh jatuh kepada PAS, insha’ALlah.

10. Berdasarkan kepada corak sokongan yang ada pada masa kini, peluang PAS dan PR untuk menawan Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu adalah cerah, di samping mengekalkan pemerintahan di empat negeri yang ada sekarang.


*Penulis adalah Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat

1 comment:

  1. "PR insha'ALlah boleh memenangi PRU kali ini dengan 120 kerusi sekiranya tidak berlaku penyelewengan dan penipuan seperti yang sering disebut sebelum ini.."

    Saya tidak setuju dengan kenyataan ini, seakan-akan mengatakan kemenangan, jika berpihak kepada BN, adalah kemenangan yang palsu dek berlakunya penyelewengan dan penipuan.

    Tiada bukti kukuh mampu diselitkan bersama kenyataan ini kerana segala statistik yang dibentangkan adalah berbentuk trend dan pasti ada pasang dan surut.

    Selain itu, indikator atau kayu ukur bagi peratusan yang dicipta tidak diperincikan. Bagaimana angka seperti 45%, 47% boleh muncul, apakan sandaran bagi peratus-peratus yang telah dinyatakan? Dan sekiranya peratusan ini dikekalkan, masih BN mendahului, saya andaikan 47% PAS - 53% BN? Maka masih adillah kalau BN yang menang, bukankah begitu?

    Ini semua hanya angka. Realitinya, keputusan pada 5 MEI perlu diterima oleh semua pihak tanpa ada menuding jari ke arah mana-mana pihak, terutama bagi mereka yang tewas.

    Lumrah bertnding, pasti ada yang menang, ada yang kalah. :-)

    ReplyDelete